Wednesday 20 September 2017

PROGRAM SENTUHAN KASIH PERINGKAT DAERAH KULIM 2017 PADA 20.09.2017























Pada 20.09.2017, PUSPANITA Daerah Kulim telah turut sama terlibat di dalam Program Sentuhan Kasih Daerah Kulim 2017 yang telah dianjurkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kulim. Program yang diadakan di Hospital Kulim telah disempurnakan oleh Yang Amat Berbahagia Datin Seri DiRaja Hizam bt Awang Ahmad, isteri kepada YAB Dato' Seri DiRaja Menteri Besar Kedah.
Sebanyak 10 buah kerusi roda dan 350 sumbangan hamper dan barangan lain telah disampaikan oleh Yang Amat Berbahagia Datin Seri kepada para pesakit di wad Hospital Kulim dengan diiringi oleh Pengerusi PUSPANITA Daerah Kulim, Puan Hidayah binti Hamzah.  Keprihatinan dan kesudiaan Yang Amat Berbahagia Datin Seri melapangkan masa di dalam program ini sangat dihargai oleh warga Kulim terutama para pesakit yang terlantar di Hospital Kulim.
Program ini turut mendapat kerjasama erat daripada Majlis Perbandaran Kulim dan Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Hi Tech Kulim. Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada semua ahli PUSPANITA yang hadir pada program tersebut terutama para ahli yang mengiringi ketua jabatan masing-masing semasa menyampaikan sumbangan.

'FREE MARKET' 2.0 @ KULIM ANJURAN BERSAMA PUSPANITA DAERAH KULIM DAN PEJABAT DAERAH DAN TANAH KULIM PADA 04.08.2017






 
Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah Darul Aman yang berlangsung pada 03.08.2017 sehingga 05.08.2017 di Dataran Kulim, PUSPANITA Daerah Kulim dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kulim telah menganjurkan Program 'Free Market"2.0 @ Kulim pada 04.08.2017. Program ini adalah kesinambungan daripada Program "Free Market' yang pernah diadakan sebelum ini di mana sambutan yang diterima sangat menggalakkan.
 
Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Puan Hidayah bt Hamzah, Pengerusi PUSPANITA Daerah Kulim yang telah turut sama turun padang bersama ahli-ahli PUSPANITA bergotong-royong mengasing, menggantung dan seterusnya mengagihkan pakaian yang disumbangkan kepada orang ramai.
 
Sekalung tahniah buat semua ahli PUSPANITA Daerah Kulim yang tidak pernah jemu menyokong semua program yang telah diadakan. Tidak lupa kepada Yang Berbahagia Tuan Penasihat PUSPANITA Daerah Kulim, Tuan Haji Mohamad bin Che Nai , Pegawai Daerah Kulim di atas sokongan dalam menjayakan program ini.

Saturday 17 June 2017

PROGRAM SENTUHAN KASIH PADA 17.06.2017

Pada 16.07.2017, PUSPANITA Daerah Kulim bersama-sama Pejabat Daerah dan Tanah Kulim serta Jabatan & Agensi Daerah Kulim telah turut serta di dalam Program Sentuhan Kasih yang diilhamkan sendiri oleh YBhg Tuan Penasihat PUSPANITA Daerah Kulim, Tuan Haji Mohamad bin Che Nai. Program yang bermula seawal pada hari Khamis 15.06.2017 di mana para ahli PUSPANITA telah turut sama dalam kerja-kerja pembungkusan barangan sumbangan sebelum diedarkan kepada wakil-wakil jabatan yang turut serta.
Sebanyak 15 mukim di dalam Daerah Kulim terlibat di dalam program ini dengan disertai oleh 27 jabatan termasuk PUSPANITA Daerah Kulim dan Pejabat Daerah dan Tanah Kulim.
Program bermula seawal pukul 8.30 pagi di mana pelepasan semua kenderaan jabatan dilakukan sendiri oleh Tuan Pegawai Daerah merangkap Penasihat PUSPANITA Daerah Kulim.
Semoga keprihatinan dan usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam meringankan beban para penerima sumbangan terutama apabila menjelangnya Syawal nanti.
Sekalung tahniah buat PUSPANITA Daerah Kulim yang diterajui oleh Puan Pengerusi, Puan Hidayah binti Hamzah yang tidak pernah jemu memberi komitmen dalam semua aktiviti yang dijalankan.



 

 


 
Copyright 2018 Reserved to PUSPANITA DAERAH KULIM Design By Cik Nurfarah